SEREMBAN – Empat pelajar lelaki senior sebuah sekolah menengah di daerah ini diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Seremban untuk menjalani perintah khidmat masyarakat selama 160 jam selepas mengaku salah mencederakan seorang pelajar tingkatan satu sekolah sama, Mei lalu.
Majistret Intan Syafinaz Roslin menjatuhkan hukuman itu terhadap empat remaja tersebut yang berusia 15 dan 16 tahun setelah meneliti laporan akhlak dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan M.Shanmugavel berkata, mereka perlu menyelesaikan perintah khidmat masyarakat sebanyak 160 jam itu dalam tempoh enam bulan.
“Selain itu, mereka turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM2,000.
“Mahkamah turut menetapkan supaya remaja terbabit menghadiri sesi kaunseling dan bengkel interaktif yang turut disertai ibu bapa dan penjaga dalam tempoh yang ditentukan JKM,” katanya ketika di luar mahkamah hari ini.
Pada 23 Mei lalu, kesemua remaja berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara memukulnya. – KOSMO! ONLINE.