PETALING JAYA – Selepas terpalit dengan kontroversi fesyen hijab menyerupai gaya rahib gereja pada bulan lalu, penyanyi Aina Abdul berjanji akan menjaga sensitiviti berpakaian sepanjang konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0) Live di Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani , 28, memberitahu akan tetap mengekalkan identitinya dalam berfesyen namun mengambil kira semua nasihat yang diberikan oleh orang ramai sebelum ini.
“Setiap malam konsert ANWAA 2.0, saya akan menggayakan busana berbeza. Saya bakal memperagakan 10 persalinan busana hasil ciptaan pereka fesyen tempatan seperti Melinda Looi, Zaimi Zulkafli, Rizman Ruzaini, Tsyahmi, Wan & Mary, Behati, Khuntumn dan Masyadi Mansoor.
“Saya tetap mengekalkan identiti Aina Abdul iaitu berani bereksperimen dalam berfesyen, tetapi mengambil kira saranan orang ramai dan menjaga sensitiviti agar tidak terkait dengan isu panas lagi.
“Baju yang saya gayakan mempunyai maksud tersendiri dan ada juga bersifat ekstravaganza seperti yang sering digayakan Tunggu dan lihat hasilnya nanti, saya memang tak sabar,” katanya.
ANWAA 2.0 bakal menjadi medan Aina menonjolkan bakat sendiri dan sebagai salah satu tanda terima kasihnya kepada semua peminat yang selama ini tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya selama ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Semalam itu bersyukur segala persiapan menjelang hari konsert berjalan lancar dan dia memohon agar perjalanan konsert dipermudahkan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Konsert ini menjadi tanda usaha gigih saya dan pasukan Aina Abdul Entertainment untuk memberikan sesuatu untuk peminat.
“Kalau boleh pada malam konsert, saya mahu penonton sama-sama menghayati apa yang cuba disampaikan, menangis, ketawa dan menyanyi bersama.
“Saya mahu semua puas menyaksikan ANWAA 2.0 dan memohon doa semua peminat agar perjalanan konsert selama dua malam dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, dia yang terkenal menerusi lagu Sumpah itu menarik perhatian netizen selepas didakwa menggayakan tudung saling tidak tumpah seperti biarawati gereja atau rahib ketika hadir ke sidang media ANWAA 2.0 pada pertengahan bulan lalu.
Bagaimanapun, dia cuma menganggap ‘hijab ala rahib’ yang diperkatakan netizen itu hanyalah sebagai fesyen semata-mata dan tidak perlu diperbesarkan. – KOSMO! ONLINE