BEIJING – Seorang wanita di bandar Xi’an, China dipanah secara tidak sengaja sehingga menyebabkan sebatang anak panah menembusi bahagian pipinya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Pesakit yang identitinya tidak didedahkan itu, dilaporkan dirawat di sebuah hospital di Xi’an selepas anak panah sepanjang 71.1 sentimeter itu mengenai bahagian bawah mata kanannya.
Petugas perubatan terpaksa memanggil pasukan bomba bagi membantu menyelamatkan mangsa kerana anak panah tersebut tertusuk amat kuat sehingga sukar untuk mencabutnya.
Mangsa juga dilaporkan tidak dapat menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) disebabkan saiz anak panah itu terlalu panjang.
Nasib wanita itu bagaimanapun agak baik apabila anggota-anggota bomba akhirnya berjaya mencabut keluar anak panah besi itu dengan bantuan peralatan pemotong bolt tugas berat.
Beberapa rakaman menunjukkan seorang anggota bomba sedang memegang anak panah dengan kuat ketika rakan-rakan setugasnya memotong bahagian berbeza, menyebabkan wanita berkenaan berada dalam kesakitan.
Menurut media tempatan, mangsa sedang berjalan di sebuah kawasan awam apabila anak panah milik seorang lelaki yang berlatih memanah secara tidak sengaja mengenai mukanya.
Polis telah melancarkan siasatan bagi insiden tersebut. – Agensi