NAZARUDIN SHAHARI
PORT DICKSON – Pasukan boling padang kebangsaan ke Sukan Komanwel 2022 berazam melakukan kejutan dengan meraih lebih daripada dua pingat berbanding sasaran yang ditetapkan.
Ketua jurulatih pasukan itu, Zuraidi Puteh berkata, kejutan itu mampu dibuat berdasarkan prestasi dan kemampuan yang dipamerkan oleh para pemain dalam kejohanan dan sesi latihan sehingga kini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan acara yang dijangka meraih pingat tetapi tiada tersenarai dalam sasaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sukan negara.
“Kami ada sasaran yang lebih daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM). (Sasaran ini) hanya kami sahaja yang tahu.
“Dalam empat acara yang disertai kelak, semua berpeluang mendapatkan pingat yang akan kami terjemahkan semasa kejohanan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menerima lawatan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro di kem motivasi pasukan itu di sini hari ini.
Sebelum ini, MOM dan PLBM menetapkan sasaran dua pingat untuk pasukan boling padang negara dalam kejohanan berkenaan dengan salah satunya ialah pingat emas.
Sementara itu, Gerrard memberitahu, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pasukan itu yang akan bertanding mulai 29 Julai hingga 6 Ogos ini.
Katanya, seramai lima pemain lelaki dan lima pemain wanita akan berlepas ke United Kingdom pada 4 Julai ini untuk menyertai latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan di sana sebelum kejohanan itu berlangsung.
“Gabungan pemain baharu dan lama ini dianggap terbaik dan mampu memberi cabaran kepada pasukan lawan termasuk pasukan yang terlihat kuat seperti tuan rumah, Australia dan Wales,” katanya.
Dalam pada itu, jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji yang membawa pulang satu pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast pada 2018 yakin peluang pasukan itu lebih baik dalam temasya kali ini.
Kata mereka, semua pemain telah menunjukkan kemampuan yang baik dalam sesi latihan dan kejohanan yang disertai termasuk pertandingan The Four Nations Test Event di Royal Leamington Spa, United Kingdom bulan lalu.
“Kami mengharapkan sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia supaya dapat mencapai kejayaan lebih baik kali ini,” katanya. – KOSMO ONLINE!