fbpx

Geng Otto dalang sindiket edar dadah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adzli (dua dari kanan) menunjukkan heroin yang dirampas dalam serbuan sebuah gudang di Bedong, Sungai Petani pada Selasa lalu.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi Geng Otto dengan menahan 11 suspek serta merampas heroin bernilai RM136,525 dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Lalang, Bedong di sini pada Selasa lalu.

Penahanan kesemua suspek termasuk tiga beranak itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kira-kira pukul 8.45 malam.

Tiga beranak melibatkan seorang lelaki disyaki ketua sindiket berusia 38 tahun bersama isteri dan anak perempuan masing-masing berusia 37 tahun dan 13 tahun.

Lapan lagi suspek terdiri daripada seorang sepupu kepada ketua sindiket dan selebihnya dipercayai pekerjanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, suspek ditahan berusia antara 13 hingga 57 tahun melibatkan enam lelaki dan lima perempuan.

Adzli berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 2.7 kilogram (kg) bernilai RM136,525 dan menyita dua bentuk cincin emas, rantai, wang tunai RM2,100 dan sebuah kereta.

“Ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek yang berusia 38 tahun positif dadah jenis morfin yang dipercayai ketua sindiket tersebut.

“Lelaki terbabit yang juga didapati ahli kumpulan kongsi gelap mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes bunuh di Sungai Petani pada 2014,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya percaya sindiket itu beroperasi semula selepas suspek dibebaskan pada tahun 2018.

Tambahnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI