BERLIN – Bekas bintang Bayern Munich, Lothar Matthaus melabel Sadio Mane sebagai pemain sayap berkelas dunia dan percaya kehadirannya bakal menghadirkan impak positif bukan sahaja untuk kelab itu, tetapi saingan Bundesliga secara keseluruhan.
Mane yang menyertai Bayern Munich dengan nilai £35.1 juta (RM189.5 juta) dijadual menjalani ujian perubatan dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi hari ini.
“Kejayaan mendapatkan Sadio Mane adalah sesuatu yang hebat, bukan saja buat Bayern Munich, tetapi kepada Bundesliga juga. Dengan adanya pemain hebat di saingan ini, ia pasti akan menjanjikan sesuatu kepada Bundesliga.
“Mane adalah pemain berkualiti dan mampu menghadirkan perbezaan. Di Liverpool, Mane mampu menghasilkan gol, selain turut berkemampuan sebagai pencetus jaringan dan sejak kebelakangan ini, pencapaiannya itu sukar untuk ditandingi oleh pemain lain,” katanya.
Namun, bekas penyerang Liverpool, Dean Saunders sebelum ini berkata, Mane hanya mensia-siakan tempoh kariernya selama dua tahun kerana membuat keputusan menyertai Bayern kerana kurangnya cabaran di Bundesliga.
“Ia bukan cabaran, Mane akan memulakan aksinya di Bayern dengan ‘gear tiga’. Dia merisikokan tempoh dua tahun hidupnya sebagai pemain bola sepak.
“Saya tidak berniat untuk menentang Bayern dan mereka adalah kelab yang hebat. Dia akan dapat menjaringkan gol dan mereka akan menang 5-0 setiap minggu. Hanya satu pasukan yang mampu memenangi liga ini,” jelas Saunders. – AGENSI