KOTA BHARU – Ibu kanak-kanak lelaki yang kritikal selepas termakan dadah jenis methamphetamine di Kuala Krai kelmarin menghidap kanser payudara tahap lima.
Wanita berusia 36 tahun itu berkata, penderitaannya itu seolah-olah hilang apabila melihat anak bongsu daripada tiga beradik tersebut ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini sejak kelmarin.
Menurutnya, dia pernah menerima bantuan untuk menjalani rawatan sejak enam tahun lalu, namun sudah dihentikan sejak Disember lalu.
“Saya dan tiga anak bergantung dengan pendapatan bapa yang mengambil upah menoreh getah.
“Kini, anak bongsu yang juga orang kelainan upaya (OKU) dimasukkan ke hospital akibat diberi dadah. Keadaan kesihatannya membuatkan saya seakan-akan melupakan kesakitan akibat kanser,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPZ II di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang budak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dipercayai termakan dadah dalam kejadian di Kuala Krai kelmarin.
Kejadian disedari oleh ibu mangsa selepas mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dengan muka kebiru-biruan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan pada pukul 5 pagi.
Kanak-kanak itu yang masih kritikal kemudian dipindahkan HRPZ II di sini untuk rawatan lanjut.
Sebelum itu, ibunya juga tidak menyangka keadaan anaknya itu berubah selepas dihantar pulang oleh sepupunya kira-kira pukul 5 petang, Sabtu lalu selepas tiga jam keluar bersama lelaki itu. – KOSMO! ONLINE