fbpx

Bekas Penyelia Tapak dipenjara 14 hari, denda RM25,000 mengaku terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zakiuddin Ridzuan, 38, (jaket hijau) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,000.

SEREMBAN – Seorang bekas Penyelia Tapak dipenjara 14 hari dan didenda RM25,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,000 untuk mengesahkan kerja pembinaan struktur saliran Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau, tahun lalu.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Zakiuddin Ridzuan, 38, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Sekiranya gagal membayar denda tertuduh boleh dipenjara enam bulan dan hukuman penjara 14 hari bermula daripada tarikh jatuh hukum hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai Penyelia Tapak sebuah syarikat konsultan ketika kejadian telah secara rasuah menerima satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus syarikat sub kontraktor sebagai dorongan untuk mengesahkan Request For Inspection (RFI) pembinaan struktur saliran di Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera lebih kurang pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, 15 Mac 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Terdahulu dalam prosiding kes, Mohd. Zakiuddin yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan dan dia menyesali perbuatannya.

“Ini merupakan kesalahan pertama dan saya menanggung seorang isteri, dua orang anak serta menjaga ibu yang sudah uzur.

“Selain itu, saya kini hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan pendapatan tersebut tidak mampu menampung komitmen yang ada selepas ditamatkan kontrak kerja pada April lalu,” katanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI