PETALING JAYA – Pelakon cantik Wafariena menafikan dirinya sudah bertunang seperti yang didakwa netizen dalam media sosial.
Wafariena atau nama sebenarnya Wafariena Roslan, 27, bertegas, dia belum mengikat janji dengan mana-mana lelaki dan masih bujang selain belum bersedia memikirkan soal jodoh buat masa ini.
“Video yang tular mengenai gambar saya seolah-olah bertunang itu bukan daripada akaun rasmi saya. Mungkin peminat yang cipta akaun palsu tersebut.
“Video bertunang itu sebenarnya daripada salah satu babak drama lakonan saya. Bila masa pula saya bertunang? Ramai yang salah faham ni. Saya belum lagi nak bertunang, calon pun belum ada.
“Saya sibuk dengan kerjaya, sibuk dengan penggambaran siang malam. Jadi, belum ada masa lagi nak fikir soal jodoh atau kahwin ni,” katanya.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi watak Nurul Ain dalam darama 7 Hari Mencintaiku 2 itu, jika sudah tiba masa untuknya melangkah ke fasa tersebut (kahwin), dia pasti akan menghebahkan kepada semua tanpa perlu berahsia.
“Insya-Allah kalau betul saya nak bertunang atau berkahwin nanti, mesti saya akan beritahu,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video dalam aplikasi TikTok memperlihatkan seorang wanita menyarung wanita sedang menyarungkan cincin di jari manis pelakon itu di atas pelamin.
Biarpun kebanyakan netizen sedar dan tahu itu adalah sebahagian daripada babak drama yang dilakonkan Wafariena, tetapi ada juga segelintir daripada mereka yang mempercayai sekali gus membuat spekulasi bahawa pelakon itu benar-benar sudah bertunang.
“Konon pura-pura single (bujang) di depan umum, padahal diam-diam dah bertunang dengan entah lelaki mana.
“Ni yang aku malas ni, kata bujang, tapi tiba-tiba dah bersarung cincin pula. Bertunang ke tu?,” tulis dan soal netizen dalam ruangan komen akaun TikTok tersebut.