SUNGAI PETANI – Seorang lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini kerana didakwa bertindak ganas dengan menendang dan membaling objek dipercayai batu ke arah dua ekor kucing di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Bedong dekat sini pada Sabtu lalu.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 27 tahun dan tidak bekerja itu dikeluarkan oleh Majistret, Noor Fazlina Musa di Mahkamah Masjistret di sini hari ini.
Suspek yang berasal dari Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Merbok dekat sini direman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan.
Kosmo! Online pada semalam melaporkan polis menahan seorang lelaki yang bertindak ganas dengan menendang dan membaling objek dipercayai batu ke arah dua ekor kucing di Taman Semeling Maju, Bedong pada Sabtu lalu.
Suspek ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok, Bujang kira-kira pukul 1.29 tengah hari semalam.
Terdahulu, perbuatan suspek yang melakukan keganasan terhadap haiwan itu dirakamkan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang mana video rakaman tersebut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 1.09 pagi, Sabtu lalu yang mana suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja. – KOSMO! ONLINE