Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
SEPANG – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini semalam, atas dua pertuduhan mengedar dadah pada 10 September lalu.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Wong Yaw Heng, 24 di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis Ketamin dengan berat 1.04 kilogram (kg) pada pukul 10.15 pagi.
Manakala, pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine dengan berat 4.21 kg pada pukul 12 tengahari.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Narkotik, Aras 3 KLIA 2 pada 10 September lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kegiatan dua lelaki yang dipercayai mula berjinak-jinak mengedar dadah menjerat diri apabila ditahan polis di balai perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Kedua-dua suspek lelaki Cina yang berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan secara berasingan bersama 5.24 kg dadah disyaki jenis ketamin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM204, 200. – K! ONLINE