SHAH ALAM – Keluarga kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. akan memohon pihak pendakwaan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin Hassan.
Abdul Aziz Hassan, 62, yang merupakan abang kepada Allahyarham Nazrin berkata, pihaknya akan memohon demi keadilan adiknya.
“Kita bersyukur walaupun tidak berpihak kepada kita. Namun, kita akan memohon pendakwaan memfailkan rayuan berhubung keputusan ini demi keadilan mangsa.
“Insya-Allah, kebenaran akan timbul. Kami berdoa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding keputusan akhir pendakwaan hari ini.
Menurut Abdul Aziz, tidak timbul isu tidak puas hati berhubung keputusan itu sebaliknya pihak keluarga menerima takdir dan mahu usaha disambung mencari keadilan.
“Ini kerana benda ini (kejadian) itu bukan senang sebab tiada siapa nampak dan tiba-tiba mati (Nazrin). Jadi kena teruskan mencari kebenaran.
“Banyak soalan tidak dijawab dan kita akan membuat rayuan supaya kes ini sampai ke akhirnya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memfailkan prosiding inkues sekiranya pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan keputusan tersebut.
“Jika mereka tidak failkan rayuan, saya akan mohon inkues bagi mengetahui kematiannya. Buat ketika ini, kita biarkan proses berjalan seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pihak pembelaan memaklumkan tiada halangan sekiranya permohonan rayuan dilakukan berhubung kes anak guamnya itu.
“Ada dua peringkat lagi iaitu rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi kes ini.
“Namun, kami berpendirian untuk kekal menang,” ujarnya.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan Isteri Nazrin, Samirah dan dua remaja dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas CEO Cradle Fund Sdn. Bhd. itu empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie diakhir kes pendakwaan terhadap ketiga-ketiga tertuduh. -KOSMO! ONLINE