SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera pada kening selepas berlaku pertengkaran dengan seorang peniaga di kawasan peranginan Pantai Merdeka di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, remaja terbabit dikatakan bergelut dengan peniaga wanita berusia 23 tahun sehingga dia mengalami kecederaan pada kening kanan dipercayai akibat diserang menggunakan kunci kereta.
Video pergaduhan tersebut turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membantu kakaknya berniaga barang mainan kanak-kanak di sebuah gerai di situ.
“Suspek yang merupakan seorang operator kilang sebelum itu menemui mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Mangsa dikatakan diserang menggunakan kunci kereta sehingga mengakibatkan kecederaan pada kening kanan selain mengadu sakit pada badan kerana terjatuh akibat ditolak suspek,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pergelutan tersebut berjaya dileraikan orang ramai sebelum mangsa dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Tambahnya, pihaknya bertindak menahan suspek dan hasil siasatan awal mendapati punca kejadian kerana suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa berkaitan perniagaan yang diusahakan mereka di situ. – KOSMO! ONLINE