JOHOR BAHRU – Wang simpanan seorang pesara swasta berjumlah lebih RM650,000 ‘hangus’ setelah diperdaya sindiket penipuan Macau scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, lelaki berusia 68 tahun itu terjerat apabila didakwa dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan penggubahan wang haram.
“Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank miliknya akan diaudit dan disiasat lalu mengarahkan warga emas itu memindahkan semua wang dari akaunnya ke dalam satu akaun bank lain kononnya bagi tujuan siasatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek turut meyakinkan mangsa bahawa terdapat notis perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.
“Tanpa usul periksa, mangsa telah memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberi suspek menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE