KATHMANDU, NEPAL – Lebih 10,000 pekerja asing Nepal meninggal dunia di negara-negara Teluk disebabkan antaranya kerana kekurangan air minuman, makanan dan waktu bekerja yang panjang dalam keadaan cuaca panas, lapor laman berita Wion News semalam.
Berdasarkan rekod kerajaan Nepal, kategori kematian kedua terbesar adalah kematian secara semula jadi. Kerajaan Nepal bagaimanapun tidak menjelaskan maksud kategori itu.
Ketua Pengarah Pejabat Pekerjaan Asing, Rajan Prasad Shrestha berkata, Nepal merupakan salah satu pembekal tenaga buruh utama di Asia Selatan.
“Secara purata, kami menghantar 500,000 rakyat Nepal ke luar negara. Terdapat angka signifikan bagi warga Nepal yang bekerja di rantau Teluk dan Malaysia.
“Kebanyakan kematian berlaku di Malaysia, Arab Saudi, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), di mana kematian secara semula jadi dan serangan jantung menjadi penyebab utama,” katanya.
Dari Jun 2008 hingga Februari 2022, seramai 10,482 pekerja asing Nepal di luar negara telah meninggal dunia.
Dalam masa lapan bulan lalu sahaja, sebanyak 1,029 kematian direkodkan dengan 213 pekerja yang pulang ke Nepal mengalami kecederaan, penyakit dan kecacatan jangka panjang.
Kematian mereka diklasifikasikan dalam beberapa kategori seperti serangan jantung, semula jadi, kemalangan jalan raya, bunuh diri dan kematian di tempat kerja.
Selain penyakit berkaitan kardiovaskular, bilangan pekerja asing Nepal yang disahkan menghidap kegagalan fungsi buah pinggang turut meningkat terutamanya di negara-negara Teluk.
Selepas bertanyakan hal itu kepada pekerja yang sudah pulang, mereka memberitahu bahawa kebanyakan pekerja dipaksa untuk bekerja di bawah keadaan sukar dengan ketiadaan akses yang betul kepada air minuman dan makanan.
Daripada semua pekerja Nepal yang bekerja di luar negara, hanya lima peratus adalah pekerja mahir, manakala 74 peratus merupakan pekerja tidak mahir dan 21 peratus separa mahir. – Agensi