fbpx

Emmanuel Macron hilang majoriti di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya Brigitte Macron keluar selepas membuang undi pada peringkat kedua pilihan raya di pusat mengundi di Le Touquet, utara Perancis kelmarin. - AFP

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron hilang majoriti di Parlimen semalam selepas perikatan baharu yang terdiri daripada beberapa parti politik berhaluan kiri dan kanan, memperoleh lebih ba­nyak kerusi dalam pilihan raya legislatif.

Keputusan pilihan raya pusingan kedua kelmarin me­nyaksikan Perancis terjerumus ke dalam krisis politik dan menimbulkan prospek Parlimen lumpuh. Ia juga memaksa Macron untuk mencari sekutu politik baharu bagi mengukuhkan kerajaan pimpinannya.

Macron, 44, juga berdepan risiko terpaksa memberi tum­puan kepada masalah domestik ketika beliau cuba memainkan peranan penting untuk menamatkan pencerobohan Rusia di Ukraine.

Pakatan ‘Together’ Macron kekal parti terbesar dalam dewan rakyat. Bagaimana­pun, Together ha­nya menang 245 daripada 289 kerusi yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti di dewan yang memiliki 577 kerusi itu.

“Situasi ini mengundang risiko kepada negara kita, memandangkan cabaran getir yang kita perlu hadapi,” kata Perdana Menteri, Elisabeth Borne dalam ucapannya.

Keputusan kelmarin mencalarkan kemenangan Macron dalam pilihan raya Presiden pada April lalu.

“Imej kebal Emmanuel Mac­ron telah tercalar,” kata penyelidik di Pusat Penyelidikan Sains Politik, Bruno Cautres.

Pakatan baharu berhaluan kiri yang dibentuk oleh pembangkang iaitu NUPES, diketuai oleh ahli politik veteran berusia 70 tahun, Jean-Luc Melenchon. Pakatan politik itu dibentuk pada Mei lalu selepas kekalahan dalam pilihan raya Pre­siden pada April lepas menyaksikan pembangkang termasuk fahaman sosialis, komunis dan parti hijau bersetuju bergabung. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI