MANCHESTER – Ketua Eksekutif Manchester United, Richard Arnold dijangka menimbulkan kemarahan pengurusan tertinggi kelab selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan penyokong pasukan itu.
Dalam pertemuan itu, perbualan antara Richard dan penyokong dirakam secara rahsia ketika beliau menyatakan United sebenarnya tidak ada masalah dari segi kewangan bagi membawa masuk pemain baharu.
Bagaimanapun, beberapa isu dalaman yang berlaku dalam pasukan menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pemain dikehendaki termasuk bintang Barcelona, Frenkie de Jong.
“Duit bukanlah masalah untuk United dapatkan pemain yang kita mahukan. Pengurus mahukan dia (De Jong) dan mereka sudah melakukan yang terbaik memantau perkembangan pemain tersebut.
“Kelab sudah buat segala-galanya bagi menyelesaikan perpindahan tersebut. Duit memang ada, tetapi saya tidak boleh dedahkan mengapa kami belum dapatkan pemain-pemain sasaran,” kata Arnold.
Rakaman perbualan yang tular itu nyata menyebabkan sebahagian besar peminat United berasa kecewa memandangkan kelab seolah-olah tidak mampu untuk mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini.
Dalam video tersebut, Arnold juga menyatakan delegasi United sudah pun berada di Barcelona untuk melakukan rundingan, namun kedua-dua pasukan masih belum mencapai kata sepakat.
– AGENSI