fbpx

Pemandu kereta, penunggang motosikal maut nahas berasingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lokasi kemalangan melibatkan sebuah kereta dan penunggang motosikal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di Jalan Syed Putra dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, dalam kejadian pertama pada pukul 6 pagi, seorang lelaki memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dari Lebuh Raya Persekutuan menghala Bulatan Sultan Mohammad.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan bertentangan dengan Sekolah Menengah Kuen Cheng.

“Akibat kemalangan tersebut pemandu lelaki berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Sarifudin berkata, berlaku kemalangan di Kilometer 3.2 Lebuh Raya DUKE menghala ke Gombak berhampiran susur ke Jalan Kuching melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha LC135 pada pukul 9.35 pagi.

“Penunggang motosikal dipercayai melanggar belakang kereta berkenaan menyebabkan mangsa yang berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI