fbpx

Pengusaha kebun durian maut tertembak diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KULIM – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di kebun durian miliknya di Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob Karangan dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan berlumuran darah pada tangan kanan oleh seorang penoreh getah berusia 56 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian tersebut disedari penoreh getah bersebelahan kebun mangsa sebelum membuat laporan kepada pihak polis.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan.

“Sebelum kejadian, penoreh terbabit mendakwa dia ada bertemu dan berbual dengan mangsa yang turut mengajaknya mengutip durian.

“Mangsa datang ke kebun itu dengan menunggang motosikal dan turut membawa senapang patah yang digantung pada bahunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Redzuan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah pondok kira-kira 700 meter dari tempat mangsa ditemui terbaring dan polis turut menemui motosikal miliknya di kawasan berkenaan.

“Siasatan di dalam pondok itu menemui selaras senapang patah dan polis turut mengesan cebisan isi mangsa yang terlekat pada dinding.

“Siasatan mendapati senapang patah itu telah meletup secara tidak sengaja yang mana senjata tersebut didaftarkan atas nama mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI