fbpx

Kumpulan samun tumpas, suspek lelaki ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi menunjukkan barang rampasan di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menembak mati seorang lelaki yang merupakan anggota kumpulan jenayah samun dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium sekitar Taman Salak Selatan, di sini pada malam kelmarin.

Difahamkan, serbuan itu dijalankan susulan polis menerima laporan berhubung kes samun bersenjata melibatkan tiga suspek lelaki di sebuah kediaman sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri, Cheras pada November tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tiga suspek terbabit telah masuk ke rumah mangsa sebelum melarikan wang tunai, barang kemas dan tiga utas jam tangan menyebabkan kerugian berjumlah RM693,000.

“Hasil siasatan, polis telah menyerbu rumah suspek pertama pada pukul 10 malam kelmarin. Suspek yang berusia 40 tahun itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan sebelum ditembak mati di lokasi kejadian.

“Polis turut menemukan sepucuk pistol jenis CZ Compact berwarna hitam dan sebutir bom tangan bersama suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur menjalankan siasatan bagi mengesan ahli kumpulan yang lain menerusi Ops Tiger sebelum menahan lapan suspek di sekitar Lembah Klang.

“Dalam tangkapan terbaharu, kita memberkas tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 28 hingga 67 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes bunuh, samun, pecah rumah dan dadah.

“Polis juga merampas sepucuk pistol jenis CZ Compact serta dua kelopak berisi 28 butir peluru di sebuah gudang sekitar Klang Utara awal pagi tadi,” ujarnya.

Tambahnya, menerusi tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 15 kes samun yang dilaporkan sejak tahun 2009.

Katanya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini manakala operasi berterusan akan dijalankan bagi mendapatkan petunjuk baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI