KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dipandunya terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Syed Putra di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rozman Abdul Rashid berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 5.15 pagi.
Menurutnya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama jentera FRT-1 dan EMRS-1 dengan kekuatan 11 orang anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah SUV jenis Toyota Fortuner terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah kerana tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 6 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.14 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE