ENAM hari selepas pemergian seniman veteran, Hamid Gurkha yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun, langit dunia seni hiburan sekali lagi dibayangi mega mendung apabila sebutir lagi bintang kesayangan tanah air, Adibah Noor kembali ke pangkuan Pencipta.
Hujan yang membasahi Lembah Klang sejak petang membawa ke malam Sabtu lalu seakan-akan turut berduka atas pemergian insan disayangi ramai ini.
Pemergian Adibah pada pukul 7.40 malam di sebuah hospital swasta di ibu negara ternyata menyentak emosi banyak pihak.
Siapa sangka, Allahyarham yang sebelum ini ceria, jarang bermasam muka, gemar berseloroh itu menyimpan luka derita yang parah.
Adibah menjadi bukti ketakutan ramai bahawa pembunuh senyap bernama kanser itu benar.
Hanya beberapa bulan mengetahui tentang barah yang menjarah tubuhnya, Allahyarham Adibah atau nama penuhnya Adibah Noor Mohamed Noor kemas menyembunyikan rahsia penyakitnya sehingga ke akhir hayat.
Di mata umum, beliau seorang penghibur, namun dalam sisi lain, wanita yang tidak pernah berkahwin itu menanggung kelat dugaan kehidupan seorang diri.
Itulah kekuatan dan ketabahannya seorang insan bernama Adibah saat kali pertama menerima khabar daripada pakar perubatan yang mengesahkan dirinya seorang penghidap kanser ovari.
Amanah, rahsia
Seperti yang diketahui umum, pemergian Adibah begitu memeranjatkan banyak pihak.
Masih teringat sekeping foto terakhir yang sempat dimuat naik dalam Instagramnya bertarikh 8 Jun, sekitar 10 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Ya, sekeping foto memaparkan dirinya ayu mengenakan pakaian berona jingga lengkap berkain hitam saat mengacarakan sebuah majlis.
Foto tersebut dihujani pelbagai komen netizen yang rata-rata terkejut dengan ‘imej’ terbaharunya yang dikatakan jauh lebih kurus dan cantik berbanding sebelumnya.
Manakan tidak, kali terakhir Allahyarham mengemas kini hantaran pun sekitar dua bulan sebelum itu, iaitu pada tanggal 14 April berkenaan tiga ekor kucing peliharaan kesayangannya.
Sebelum itu pun, boleh dikatakan Adibah lama menyepi usai menamatkan persaingan menerusi program realiti popular, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) hujung Januari lalu.
Sehinggalah tanggal 18 Jun lalu, saat kisah pemergiannya menyita Sabtu yang bening, barulah pengakuan demi pengakuan terucap dari bibir teman-teman sealiran.
Memohon maaf kepada banyak pihak mengenai amanah yang terpaksa dirahsiakan atas permintaan Allahyarham sendiri, rakan seperjuangan dalam GV8, Ani Maiyuni menyifatkan pemergian Adibah sebagai satu kehilangan besar.
Akui Ani, kondisi Adibah selaku pejuang kanser ovari tahap empat cukup diketahuinya dan beberapa individu lain, namun atas kepercayaan dan amanah, perkara tersebt terpaksa ditelan dalam-dalam.
Semua itu bagi menghomati permintaan Allahyarham yang tidak mahu deritanya heboh kepada umum.
“Kami terpaksa rahsiakan. Arwah pernah berkongsi keadaannya kepada saya dan juga beberapa orang rakan dan ahli keluarga.
“Arwah minta kami rahsiakan. Kami tak dapat nak uar-uarkan bahawa dia sedang menanggung kesakitan,” katanya pada hari Allahyarham meninggalkan kita semua.
Cerita Ani juga, kebelakangan ini Adibah sering demam dan dimasukkan ke hospital sebelum mendapat tahu dirinya menghidap kanser dan berhasrat mahu berehat sementara waktu.
Berdedikasi, positif, disenangi
Seorang lagi kawan baik dan banyak bekerjasama dengan Allahyarham menerusi pelbagai naskhah termasuklah selebriti serba boleh, Datuk Afdlin Shauki.
Bagi Afdlin, Adibah seorang insan seni yang sentiasa berdedikasi dengan kerjayanya.
Beliau juga tidak pernah lokek berkongsi apa sahaja ilmu.
“Sejak saya mengenalinya hampir dua dekad lalu, Adibah yang saya anggap sebagai seorang kakak ini lain macam semangatnya ketika bekerja.
“Kalau bekerja dengan dia memang tidak akan rasa tertekan kerana tingkah lakunya yang spontan dan santai, tetapi pada masa sama ada ketegasan.
“Bukan setakat dedikasi dan cintakan kerjaya, dia juga antara insan yang tidak pernah kedekut berkongsi ilmu dan bakatnya kepada sesiapa sahaja.
“Berehatlah di sana, sesungguhnya kau terlalu istimewa buat kami semua,” katanya.
Bagi aktor dan pengarah, Nam Ron, kali terakhir mereka bergandingan adalah ketika penggambaran filem Eraser pada Februari lalu, namun hanya tahu mengenai keadaan Adibah bulan lepas.
Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 52, berkata, pemergian Adibah pasti dirindui ramai kerana tiada galang ganti dirinya dalam industri hiburan tanah air.
“Bulan Februari lalu, kami berlakon dalam Eraser sebagai suami isteri. Bulan lepas, Datuk Zainal Abidin memberitahu saya yang Adibah disahkan mengidap kanser dan selamat menjalani pembedahan pada Ramadan lalu.
“Sebentar tadi (malam Sabtu) saya dapat berita menyedihkan dia kembali menghadap Ilahi. Kita kehilangan seorang penghibur penuh kasih sayang dan disenangi semua yang pernah bekerja bersamanya.
“Kehilangan yang takkan ada pengganti. Innalillahiwainnailaihirojiun semoga beliau tenang di sana,” katanya.
Sementara itu, aktor terkenal Remy Ishak turut menyifatkan pemergian Allahyarham Adibah yang sudah dianggap sebagai mentor sebagai satu kehilangan besar bukan
sahaja buat industri, bahkan tersangat peribadi buat dirinya.
Akui Remy, Allahyarham bukan sahaja seorang mentor buat ramai artis lain, tetapi turut dianggap sebagai seorang kakak yang amat baik.
“Saya masih ingat, semasa saya sakit dan kurang sihat tempoh hari pun dia selalu hubungi saya tanya khabar.
“Kita kehilangan sebutir lagi permata yang bukan sahaja berbakat dalam bidang seni, tapi hilang seorang insan mulia yang banyak berbakti.
“Dia juga seorang kakak yang sering tidak kedekut memberi nasihat bukan setakat soal kerjaya.
“ Sikap positif yang ditunjukkan dia sangat terkesan sampai ke hari ini,” ujarnya.
Pendidik, berjiwa masyarakat
Sebelum terjun dan menempa nama sebagai pemain seni sekitar 25 tahun lalu, mungkin ramai sedia maklum ataupun langsung tidak pernah tahu bahawa Allahyarham merupakan seorang bekas guru sekolah.
Sempat menabur bakti mendidik anak bangsa selama dua tahun di Petaling Jaya, Selangor, Adibah nekad untuk melibatkan diri dalam bidang seni dengan menyertai pertandingan nyanyian perdananya, Suara 90-an Nescafe pada tahun 1994 sekali gus dinobatkan juara.
Daripada situ bakat nyanyiannya mula dikesan dan mula merakamkan single pertama hit yang juga lagu periuk nasinya hingga kini berjudul Terlalu Istimewa pada tahun 2005.
Tidak setakat dikurniakan suara emas, bakat lakonannya juga mula dicungkil menerusi filem pertamanya, Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad pada tahun sama.
Bagi komposer, penghibur dan penulis lirik tersohor, Datuk M. Nassir menyifatkan Adibah sebagai seorang yang penuh dengan visi dan misi bukan sahaja sebagai selebriti tetapi pendidik berjiwa masyarakat.
“Dia seorang yang moden dan dia sangat open (terbuka) dalam apa saja perkara.
“Masyarakat juga melihat dia sebagai seorang artis yang penuh dengan visi dan misi.
“Kita lihat dia dari dahulu sampai sekarang amat menekankan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi tak pernah lupa dengan asal usulnya sebagai anak Melayu,” katanya.
Sebesar manapun kasih sayang industri, keluarga, sahabat dan peminat, namun siapalah kita semua mahu menolak takdir.
Diiringi cuaca cerah pagi semalam, Adibah meneruskan perjalanan ke negeri abadi disaksikan ratusan orang, keluarga, kenalan dan peminat.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat di ibu negara.
Terima kasih Adibah Noor atas segala kenangan, kasih sayang dan ilmu yang pernah dicurahkan buat kami semua.
Selamat berpulang duhai pejuang sejati – penghibur yang ‘terlalu istimewa’. Al-Fatihah