GEORGETOWN – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo mengalami kecederaan pada buku lali selepas didakwa diserang seorang lelaki Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Jagdeep dikatakan terjatuh selepas ditolak seorang lelaki warga asing yang tidak dikenali ketika berada di sebuah kedai di Tanjung Bungah di sini.
Ekoran kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kes itu dan berkata, suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Jagdeep sehingga kini gagal dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung kejadian tersebut. KOSMO! ONLINE