KUALA LUMPUR – Jenazah pelakon dan penyanyi Adibah Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU 2, di sini sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 51, meninggal dunia malam tadi disebabkan kanser ovari tahap empat.
Terdahulu, Allahyarham dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat berhampiran rumah keluarganya pada pukul 9 pagi tadi.
Selain ahli keluarga, antara selebriti tanah air yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah Datuk M. Nasir, Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki, Sharifah Amani, Saiful Apek, Nikki Palikat dan Suki Low.
Malam tadi, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan perkhabaran duka apabila Adibah meninggal dunia sebuah hospital swasta di ibu negara.
Khabar dukacita tersebut mula diketahui umum menerusi hantaran akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.
Menurut beberapa rakan artis yang rapat dengan Allahyarham ketika beliau bertanding di program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), pelantun lagu Terlalu Istimewa itu sudah lama menderita penyakit berkenaan namun memilih untuk merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan umum.
Minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama dunia hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan mengalami penurunan berat badan ketara.
Namun, Adibah mendedahkan kepada media bahawa perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat semenjak bulan Ramadan lalu.
Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 menerusi naskhah seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Allahyarham Yasmin Ahmad.
Sejak dari situ, beliau mula membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.
Dalam dunia nyanyian, Adibah pernah merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010).
Lagu Terlalu istimewa pernah dijulang sebagai Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) pada 2007. – KOSMO! ONLINE