BEIJING – Sekurang-kurangnya seorang maut dalam insiden kebakaran sebuah loji kimia di Shanghai, China, awal pagi semalam, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di salah satu loji penapisan dan petrokimia terbesar China.
Api kelihatan menyambar di bahagian kompleks yang luas dan mengeluarkan kepulan asap hitam yang tebal ke langit.
Shanghai merupakan hab ekonomi di China dan baru-baru ini dikenakan sekatan pergerakan selama dua bulan akibat pandemik Covid-19 .
Punca kebakaran yang menjejaskan kemudahan etilena glikol itu masih tidak dijelaskan.
Syarikat milik kerajaan yang mengendalikan kilang yang terletak di pinggir bandar Jinshan, Sinopec berkata, seorang pemandu kenderaan pengangkutan maut manakala seorang pekerja syarikat berkenaan cedera.
Penduduk yang tinggal sejauh 6 kilometer dari loji kimia itu turut dapat mendengar bunyi letupan, lapor media tempatan.
Jabatan bomba Shanghai telah bertindak menghantar lebih 500 anggota ke lokasi kejadian.
Media kerajaan melaporkan bahawa kebakaran itu kini terkawal, namun usaha memadamkan api masih dijalankan.
Sinopec memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau kesan kejadian ke atas alam sekitar dan tiada rekod mengenai kerosakan kepada persekitaran air di sekeliling loji berkenaan. – Agensi