fbpx

Pemimpin negara, mantan PM kongsi rasa duka kematian Adibah Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri dan Muhyiddin turut berkongsi kisah duka tersebut.

PETALING JAYA – Berita mengejutkan tentang pemergian penyanyi dan juga pelakon serba boleh, Allahyarhamah Adibah Noor yang meninggal dunia akibat kanser ovari turut menjentik rasa duka pemimpin negara termasuk dalam kalangan mantan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya berkongsi rasa sedih atas kematian selebriti berusia 52 tahun itu yang dianggap memiliki bakat besar sebagai seorang penghibur.

“Penggiat seni tanah air, Adibah Noor Mohamed Omar telah pergi mengadap Ilahi malam tadi (semalam).

“Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan,” tulis Ismail yang turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahayrhamah Adibah Noor.

“Takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak ketinggalan berkongsi rasa duka atas pemergian Adibah Noor yang dianggap sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga selebriti serba boleh, Allahyarhamah Adibah Noor yang kembali ke rahmatullah.

“Semasa hayatnya Allahyarhamah adalah seorang artis berbakat besar dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan serta menjadi idola ramai. Pemergian Adibah Noor adalah satu kehilangan besar kepada dunia seni negara,” ujarnya.

Turut berkongsi rasa kehilangan ialah bekas Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menyifatkan Adibah sebagai ikon yang disenangi ramai.

“Dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih tentang kehilangan Adibah Noor yang telah meninggal dunia.

“Kita kehilangan seorang ikon yang disayangi ramai. Takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook.

Terdahulu, seluruh pemain industri seni hiburan tempatan terkejut selepas mendapat perkhabaran tentang kematian selebriti berperwatakan ceria itu yang dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 7.30 malam semalam di salah sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur akibat kanser ovari tahap empat.

Difahamkan jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ansar, Keramat kira-kira pukul 9 pagi untuk dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar pukul 10.30 pagi untuk dikebumikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI