KUALA NERUS – Jaringan berkelas dunia pemain import, Habib Haroon membantu Terengganu FC (TFC) menumbangkan juara bertahan Piala Malaysia, KL City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Tonggak kelahiran Bahrain itu melakukan rembatan kencang dari jarak 25 meter ketika TFC semakin buntu memburu gol sebelum seorang lagi tonggak import, Manuel Ott memastikan tiga mata berharga pada hujung perlawanan.
Beraksi di hadapan 6,000 penyokong, TFC menguasai babak pertama menerusi percubaan Hairiey Hakim Mamat yang terkena tiang pada minit ke-14 disusuli sepakan leret Kipre Tchetche (m-17).
Penjaga gol pelawat, Kevin Ray Mendoza terus dipaksa bekerja keras menafikan percubaan berturut-turut daripada Tchetche dan Ott pada minit ke-29.
Aksi selepas rehat menyaksikan TFC menambah tekanan namun rembatan padu Ott pada minit ke-58 dari dalam kotak penalti sekali lagi menggegar tiang.
Keghairahan tuan rumah memburu gol hampir memakan diri mujur penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin dapat membaca gerakan Muhammad Hadin Azman melalui serangan balas pada minit ke-60.
Keresahan TFC akhirnya terlerai pada minit ke-75 apabila Habib meledak gol pembukaan hasil sepakan padu berpunca hantaran lintang Hairiey Hakim dari sebelah kiri. – KOSMO! ONLINE