fbpx

“Saya Perdana Menteri dilantik Agong” – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (tengah) bergambar dengan orang ramai di Majlis  Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Luyang sebentar tadi.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – “Saya di sini masih Perdana Menteri.

“Apapun situasi dalam negara, selaku pemimpin negara saya bertanggungjawab kepada semua tanpa mengira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, beliau masih Perdana Menteri walaupun ada seorang pemimpin pembangkang hari ini mendakwa memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut perkara itu kerana menghormati pandangan selain menyerahkannya kepada perlembagaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Luyang sebentar tadi.

Turut hadir Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, calon Perikatan Nasional (PN) Luyang, Gee Tien Siong dan calon Barisan Nasional (BN) Likas, Dr Chang Kee Ying.

Sewaktu memulakan ucapan pada majlis itu, Muhyiddin berkata, rakyat mungkin tertanya-tanya sama ada beliau masih Perdana Menteri selepas Presiden PKR hari ini mendakwa beliau sudah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri.

“Mungkin kamu tertanya-tanya sama ada saya berdiri sini masih sebagai Perdana Menteri atau tidak sebab hari ini ada pemimpin pembangkang kata dia sudah dapat sokongan Ahli Parlimen serta menyatakan saya sudah tiada sokongan majoriti dan dia boleh jadi Perdana Menteri.

“Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan berperlembagaan. Kita ada Perlembagaan Malaysia sebagai asas untuk kita buat keputusan.

“Jadi apapun yang dikatakan, ini akan diputuskan dalam perlembagaan. Saya tidak mahu sentuh kerana ini kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan rakyat negara ini juga tahu bahawa beliau menjadi Perdana Menteri selepas berlaku krisis perlembagaan dalam negara.

Menurutnya, ekoran krisis itu perlu ada usaha untuk menyelamatkan negara dan beliau dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menggalas tanggungjawab terbabit.

“Ada mengatakan saya datang dari pintu belakang, pintu depan tetapi yang pasti saya datang dari pintu istana dan sudah mengangkat sumpah,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur siang tadi mendakwa memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan hanya menunggu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI