KUALA LUMPUR – Seorang pelakon popular ditahan kerana dipercayai membelasah seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut, di sini pada malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, seorang penghuni kondominium dikatakan bertengkar dengan pengawal keselamatan kerana rakannya tidak dibenarkan masuk untuk menghantar minyak masak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pelakon berusia dalam lingkungan 30-an itu secara tiba-tiba datang lalu menumbuk serta menendang lelaki yang terbabit dengan pertengkaran dengan pengawal keselamatan tersebut.
“Mangsa mendakwa pelakon terbabit menumbuk dan menendang bahagian muka, dada, perut dan belakang badan.
“Selain itu, pelakon tersebut turut mencekik dan mengugut akan membunuh mangsa,” katanya.
Mangsa dan suspek tinggal di kondominium sama.
Menurut Habibi, ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul memberkas suspek di kediamannya malam semalam.
Katanya, pelakon itu kini ditahan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE