KUALA LUMPUR – Perak Phoenix menutup kempen Sooka Netball Super League (NSL) 2022 dengan kemenangan besar 66-49 ke atas Kedah Sunshine di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Kemenangan itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Perak Phoenix selepas ‘kempunan’ untuk mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti yang dilakukan musim lalu.
Apa tidaknya, skuad bimbingan Almastara Mohd. Hashim itu terpaksa akur menamatkan aksi terakhir mereka dalam saingan liga sepusingan NSL untuk edisi kedua kali ini di tempat kelima daripada lapan pasukan.
Goal attack Perak Phoenix, S. Sharvina percaya dia dan rakan sepasukannya sebenarnya mampu memberikan prestasi yang lebih baik jika tidak melakukan banyak kesilapan mudah sepanjang saingan musim ini.
“Kami menang hari ini sudah kira okey tetapi masih banyak lagi kesilapan boleh dibaiki contohnya penyudah akhir dan hantaran dari bahagian tengah,” katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Penyumbang jaringan terbesar Perak Phoenix sudah tentu menjadi milik goal shooter, Khairunnisa Nazri yang berjaya menghasilkan 55 gol daripada 66 peluang.
Kekalahan itu menyaksikan Kedah Sunshine sudah boleh melupakan penyertaan musim depan apabila hampir pasti tersingkir sebagai dua pasukan tercorot untuk edisi kedua kali ini.
Sebagai rekod, Kedah Sunshine sekadar mencatat satu kemenangan dan enam kekalahan yang menyaksikan skuad bimbingan Huslina Hussain itu cuma berupaya meraih tiga mata daripada tujuh perlawanan. – KOSMO! ONLINE