SEPANG – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Bandar Bukit Puchong 2 Puchong, awal pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, Ali Imran Naseruddin dilaporkan kali terakhir dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pukul 3.57 pagi Khamis.
Beliau berkata, rakaman CCTV daripada pos pengawal menunjukkan remaja itu berjalan seorang diri keluar dari taman perumahan Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.
“Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat ibu mangsa pukul 6.52 petang semalam di Balai Polis Bukit Puchong.
“Mangsa kali terakhir dilihat memakai seluar jeans, t-shirt, jaket, bertopi, kasut jenis Nike warna hitam dan menggalas beg berwarna biru.
“Mangsa juga berketinggian lebih kurang 170 sentimeter, berambut lurus, pendek dan lebat warna hitam, kulit warna kuning langsat, kening tebal, mata sepet, bentuk badan kurus tinggi dan memakai cermin mata,” katanya ketika di hubungi, hari ini.
Katanya, hebahan orang hilang telah dilakukan oleh Balai Polis Putra Perdana hari ini bagi mengesan mangsa.- KOSMO! ONLINE