JAKARTA – Seorang remaja berdepan hukuman penjara selepas dia didapati bersalah mencuri wang tabung derma di sebuah masjid di Kabupaten Kotabaru, Sumatera Barat di Indonesia semalam, lapor laman Suara.com.
Ketua Polis Kabupaten Kotabaru, Asisten Komisioner Afrito Marbaro berkata, remaja berkenaan ditangkap sehari selepas dia dilaporkan mencuri sebuah tabung derma berisi wang tunai sebanyak 4.5 juta rupiah (RM1,250).
“Hasil siasatan mendapati suspek sudah melakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali yang mana pada kejadian pertama, suspek menggunakan wang curi untuk membeli sebuah motosikal.
“Bagaimanapun, dia tidak sempat membelanjakan wang hasil curi dalam kejadian kali kedua apabila berjaya ditangkap,” katanya.
Afrito berkata, identiti suspek berjaya dikenal pasti selepas pihak polis meneliti rakaman televisyen litar tertutup di tempat kejadian.
Tambah Afrito, modus operandi suspek ialah berpura-pura solat bersama jemaah lain di masjid yang menjadi sasarannya sambil menyasarkan tabung derma yang ingin dicuri.
“Selepas habis solat dan semua jemaah pulang, suspek kembali ke masjid untuk mencuri tabung yang disasarkan.
“Suspek akan mengumpil tabung derma itu menggunakan sebatang besi yang dibawa bersama sebelum mencuri wang di dalamnya,” jelasnya.
Sementara itu, Afrito berkata, jika sabit kesalahan suspek akan dihukum penjara maksimum tujuh tahun. – Agensi