KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara yang mendapat nama julukan ‘Usain Bolt Malaysia’, Muhammad Azeem Fahmi mengharungi minggu yang cukup cemerlang.
Azeem, 18, masih lagi segar dengan pencapaian meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua hari lalu sehinggakan mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tidak terhenti di situ apabila Azeem meneruskan kecemerlangannya dengan kali ini merekodkan catatan peribadi baharu dalam acara 100 meter (m).
Azeem mencetak masa 10.28 saat (s) untuk memenangi final 100m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak yang turut menjadi rekod baharu kejohanan pada aksi di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Ia sekali gus memadam rekod lamanya iaitu 10.37s yang dilakukannya sewaktu peringkat saringan Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur (KL) Allcomers di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada April lalu.
Azeem menewaskan pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan yang meraih tempat kedua dengan catatan 10.80s, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Raimi Mustafa Kamal (10.87s).
Sebagai rekod, ini adalah kejohanan pertama buat Azeem sejak dia melakukan kesilapan ‘false start’ sewaktu aksi separuh akhir 100m Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 18 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE