IPOH – Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh beberapa jam.
Berdasarkan beberapa hantaran di Facebook, beberapa buah kenderaan juga rosak akibat ditimpa tembok runtuh di Jalan Sultan Azlan Shah, Taman Ipoh Selatan di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, banjir kilat berlaku di sekitar kawasan pasar raya Aeon Kinta City; Jalan Johor, Taman Canning dan Taman Cempaka.
Katanya, air banjir bagaimanapun telah surut sepenuhnya dan tidak melibatkan mangsa dalam kejadian sekitar pukul 4 petang.
“Pemantauan di Taman Cempaka mendapati beberapa buah rumah dinaiki air namun kesemua mangsa dalam keadaan selamat. Banjir kilat juga telah surut dan tiada mangsa yang dipindahkan.
“Pemantauan dilakukan daripada semasa ke semasa bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.