fbpx

Padah sensasi ‘gurauan’ tepuk punggung Geng Vida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI kurang senonoh Vida, Kak KM, Ifa Raziah dan Cheta Pot Pet mengundang parah apabila mereka disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu.

SEKALI lagi, nama usahawan sensasi Datuk Seri Vida terpalit kehangatan dek onar yang agak jelik. Semuanya gara-gara menjadi seorang ‘peserta’ dalam sebuah video panas membabitkan seorang lagi usahawan kontroversi, Liana Rosli atau Kak KM.

Dalam video yang tular beberapa hari lalu, Kak KM memuat naik video dalam Instagram menunjukkan aksi menepuk punggung Vida dan dua lagi individu iaitu penyanyi Ifa Raziah serta usahawan, Cheta Pot Pet bagi tujuan mempromosi sebuah karnival beli-belah.

Ternyata, aksi tersebut tidak disenangi ramai kerana tindakan si tukang tepuk dan yang rela ditepuk dilihat melangkaui batas dan norma kehidupan masyarakat di negara ini.

Persoalan ramai, di mana letaknya rasa malu kesemua individu terlibat sehingga sanggup menggadai harga diri sebagai seorang wanita Melayu Islam, apatah lagi apabila kesemua mereka sudah pun berusia dan bukannya budak-budak. Mereka pasti lebih tahu baik buruk sesuatu perkara.

Vida ketika dihubungi bagaimanapun mempertahankan tindakannya. Baginya, dia tiada niat hendak mencipta kontroversi, sebaliknya menyifatkan perbuatan tersebut sebagai cara memperlihatkan ‘aset’ kewanitaannya selain duit.

“Mempunyai punggung yang cantik sebenarnya aset juga. Terpulang orang punya penerimaan tapi walaupun sudah berumur tak bermakna tak boleh tayang aset.

“Lagi pun video tersebut hanya gurauan dengan rakan-rakan yang kita rapat,” katanya.

PENCETUS Ummah Amin turut bersuara berkenaan isu video panas membabitkan geng Vida.

Resam jika berlaku sesuatu yang panas membabitkan selebriti sehingga mengundang perhatian ramai, maka muncul suara-suara yang menegur tindakan semberono golongan sebegitu.

Bukan hanya gempita diperkatakan netizen marhain, isu berkenaan turut meraih perhatian beberapa pendakwah menyuarakan teguran, sekali gus menjatuhkan hukum penularan video tersebut sebagai satu tindakan memalukan.

“Malu kalau anak-anak jadikan ikutan. Malu bila nikmat kaya Allah bagi hanya untuk cara begini. Apa nak jadi dengan bangsa kita, agama kita,” luah Pencetus Ummah (PU) Amin dalam media sosial miliknya.

Malah pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd. Zawawi Yusoh memberi peringatan bahawa tindakan meraih perhatian pada zaman media sosial mestilah mematuhi syariah.

Golongan wanita terutamanya perlu lebih cakna bahawa menjaga aurat bukan sekadar menutup rambut atau, bahkan istilah tersebut lebih luas maknanya.

“Nak raih perhatian, kita kena cari dengan cara syariah juga. Maksudnya, anggota badan perempuan bukan tutup aurat dan rambut sahaja. Rambut itu kecil tapi ada yang lagi besar iaitu tutup badan, perangai dan akhlak.

“Masalah orang perempuan, mereka ada bahagian badan tertentu yang boleh menyebabkan istilah haram itu berbeza.

“Tunjuk rambut, haram. Tapi bila tunjuk dada, lagilah haram. Apatah lagi kalau main tepuk-tepuk punggung untuk tujuan tak elok, konon nak viral,” ujarnya.

ZAWAWI berpesan, carilah perhatian dengan cara yang mengikut syariah. Bukannya dengan cara memalukan.

Kontroversi tersebut turut mengundang padah lebih besar. Natijahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turun menyiasat ‘geng Vida’.

MCMC dalam satu kenyataan menyebut, siasatan dijalankan terhadap ketiga-tiga individu terlibat di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang beberapa hari lalu.

“MCMC memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal yang telah memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik dalam laman aplikasi Instagram dan TikTok masing-masing.

“Siasatan dibuat susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung tindakan individu-individu berkenaan,” kata MCMC.

Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai khususnya para selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang,” tambah MCMC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI