fbpx

Satu bilion penduduk dunia alami sakit mental – WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS paramedik merawat seorang pesakit di sebuah klinik kesihatan mental di Peshawar, Pakistan pada Oktober 2021. - AFP

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa semua negara supaya meningkatkan pelaburan dalam kesihatan mental dan menyatakan bahawa ‘penderitaan adalah amat besar’ serta menjadi lebih buruk disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Dalam tempoh se­belum Covid-19 se­kali pun, hampir satu bilion manusia bergelut dengan masalah mental, kata WHO dalam laporan terbesarnya berhubung kesihatan mental global dalam tempoh dua dekad.

Dalam tahun pertama semasa pandemik pula, kadar kemuru­ngan meningkat 25 peratus walaupun banyak sumber telah dikerah untuk meme­rangi penularan koronavirus.

Hanya dua peratus daripada bajet kesihatan negara dan kurang satu peratus dana kesihatan antarabangsa digunakan untuk menambah baik kesihatan mental, demikian menurut laporan WHO.

“Semua angka ini amat, amat rendah. Minat kepada kesihatan mental berada di tahap tertinggi disebabkan pandemik.

“Bagaimanapun, pelaburan dalam aspek ini tidak meningkat. Laporan ini memberikan maklumat kepada negara-negara tentang bagaimana untuk melabur dalam kesihatan mental secara lebih baik,” kata ketua unit kesihatan mental WHO, Mark Van Ommeren dalam satu sidang akhbar.

Menurutnya, sekitar seorang dalam setiap lapan penduduk di seluruh dunia mengalami gangguan mental.

Situasi lebih buruk buat mereka yang hidup dalam zon konflik di mana seorang dalam setiap lima individu mengalami sakit mental.

Golongan belia, wanita dan individu lain yang mengalami masalah mental pula terjejas lebih teruk akibat pandemik Co­vid-19 dan sekatan berkaitannya.

“Di mana ada krisis, masalah mental akan meningkat,” kata Van Ommeren.

Laporan WHO bertajuk World Mental Health Report atau Laporan Kesihatan Mental Dunia itu juga membentangkan jurang besar dalam akses penjagaan kesihatan mental antara negara-negara di dunia.

Lebih 70 peratus individu yang menderita akibat masalah mental menerima rawatan di negara-negara berpendapatan tinggi, namun angka tersebut cuma 12 peratus di negara membangun, kata WHO.

Laporan sama menggesa supaya stigma berkaitan pesakit mental dihapuskan sambil mengetengahkan bahawa 20 negara di seluruh dunia masih menganggap cubaan untuk membunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Menurutnya, walaupun hanya satu dalam setiap 20 cubaan bunuh diri membawa kepada kematian, perbuatan bunuh diri masih menyumbang kepada le­bih satu dalam setiap 100 kematian di seluruh dunia. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI