fbpx

Warga emas ‘gigit jari’ ditipu Macau Scam RM134,503

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang warga emas berusia 61 tahun terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian mencecah RM134,503 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad, berkata, mangsa wanita yang juga seorang pesara swasta telah membuat laporan polis mengenai perkara itu selepas menyedari dirinya ditipu.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di pusat panggilan HSBC Bank.

“Lelaki itu kemudiannya memaklumkan bahawa kad kredit HSBC Bank Platinum Mastercard milik mangsa telah digunakan untuk pembelian wang digital (bitcoin) melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mohd. Radzi, mangsa bagaimanapun menafikan penggunaan kad kredit tersebut kerana tidak mempunyai akaun ‘bitcoin’ sebelum panggilan telefon mangsa disambungkan pula kepada seorang lelaki lain yang kononnya bertugas selaku pegawai dari Bank Negara.

“Pegawai ‘Bank Negara’ itu kemudian meminta mangsa memberikan maklumat perbankan (kata nama beserta kata laluan) kononnya untuk tujuan siasatan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila menerima mesej daripada pihak HSBC Bank kira-kira pukul 9 malam (hari yang sama) yang memaklumkan bahawa terdapat pengeluaran wang berjumlah RM134,503 daripada tiga akaun bank miliknya,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd. Radzi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai agensi kerajaan atau swasta sebelum mendapat pengesahan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI