fbpx

Subsidi tamat, FLFAM gesa harga ayam lebih relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menggesa kerajaan menetapkan kadar baharu ayam segar yang lebih relevan selepas penamatan subsidi pada 1 Julai ini.

Penasihat FLFAM, Datuk Jeffrey Ng berkata, tanpa subsidi RM1.40 diberikan, peladang akan berdepan dengan kerugian besar susulan terpaksa menanggung kos penternakan yang mencecah RM7 sekilogram.

Katanya, kemelut itu bukan sahaja dihadapi di peringkat peladang, namun peruncit juga tidak akan memperoleh keuntungan apabila terpaksa menjual ayam segar pada harga terlalu rendah iaitu RM8.90 sekilogram.

“Kalau kita cakap dari peringkat peladang, bila tiada lagi subsidi, kos akan menjadi RM7 dan secara tidak langsung ini turut memberi kesan di peringkat peniaga yang terpaksa menjual pada harga siling RM8.90 sekilogram.

“Kalau tak nak teruskan subsidi, kerajaan perlu buat kajian supaya tidak ada pihak yang menanggung rugi, kalau ayam mahal sikit tak apa janji bekalan ada, jangan sampai terputus lagi teruk,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, harga ditetapkan kerajaan juga dilihat tidak relevan dengan perbandingan kos operasi yang melibatkan pengimportan dedak mengikut pasaran antarabangsa.

“Di Brazil harga ayam sekarang telah mencecah RM12 sekilogram, begitu juga Amerika Syarikat, jadi harga Malaysia ini memang jauh lebih murah.

“Harga RM8.90 ini sudah tidak relevan kerana kos operasi kita adalah import, kita beli barang (dedak) ikut harga dunia, bukan harga tempatan,” katanya.

Jeffrey berkata, susulan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian ‘menang-menang’ dalam isu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI