PETALING JAYA – Desas desus mengenai pertemuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama dua pemimpin PKR Rabu lalu langsung tidak dibincangkan di peringkat parti tersebut.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, hal tersebut tidak ada langsung dibincangkan di peringkat pimpinan PKR.
“Saya tiada maklumat sama ada pertemuan tersebut berlaku mahupun tidak, siapa yang hadir ataupun tidak.
“Akar umbi parti dan penyokong parti sukar untuk terima semula figura kontroversi seperti Azmin, ” jelasnya dalam aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Terdahulu, satu laporan sebuah portal tempatan menyatakan Azmin telah bertemu dengan dua pemimpin PKR pada Rabu lalu di sebuah hotel di Petaling Jaya berkenaan kedudukannya dalam parti Bersatu ketika ini.
Azmin bagaimanapun turut mengeluarkan satu kenyataan hari ini menyatakan tentang komitmennya di bawah pemerintahan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – KOSMO! ONLINE