LANGKAWI – Perkhidmatan feri dan pelancongan Pulau Langkawi yang baharu sahaja pulih ‘dicemari’ dengan insiden ulat tiket atau ejen haram yang mampu mengaut keuntungan lebih RM30 untuk perjalanan sehala.
Bayaran tersebut melibatkan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke pulau peranginan berkenaan.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, ejen haram atau ulat tiket itu biasanya membeli tiket dalam kuantiti kecil dan awal terutamanya pada musim perayaan dan cuti umum.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu membebankan pelancong yang ingin bercuti apabila terpaksa membayar tiket pada harga yang tidak masuk akal.
“Kami mendapat aduan daripada penumpang yang membeli tiket sehingga RM60 seorang bagi perjalanan sehala, sedangkan harga tiket hanyalah sekitar RM18 dan RM23 sahaja.
“Situasi ini memberi imej buruk terhadap perkhidmatan feri dan pelancongan Langkawi yang baru sahaja kembali pulih,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Harga tiket feri bagi laluan Kuala Perlis adalah RM18 bagi dewasa dan RM13 (kanak-kanak), manakala bagi laluan Kuala Kedah adalah RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak).
Sehubungan itu, Baharin berkata, pihaknya akan menyemak tiket feri yang dibeli pelanggan bagi memastikan nama pada tiket adalah sama dengan penumpang yang menaiki feri bermula pada 1 Julai ini.
Jelasnya, semakan itu bagi mengelakkan ejen haram atau ulat tiket yang menjual semula tiket feri dengan harga yang lebih mahal daripada terus berleluasa.
“Pelanggan diminta membeli tiket daripada ejen sah atau secara dalam talian melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi bagi mengelakkan daripada terpaksa membayar lebih mahal,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini mendapati, rata-rata penumpang bersetuju dengan langkah tersebut kerana disifatkan dapat mengekang ulat tiket atau ejen haram ini daripada terus mengaut keuntungan.
Mohamad Fitri Azizan, 40, berkata, pihak operator perlu memastikan penumpang datang lebih awal kerana urusan berkenaan sudah pasti mengambil masa disebabkan operator perlu memastikan hanya pelanggan yang betul menaiki feri.
“Pemeriksaan nama penumpang ini sudah pasti mengambil masa tetapi itu adalah lebih baik daripada terpaksa membayar harga tiket yang mahal,” katanya.
Bagi Nur Asyikin Azhari, 24, langkah itu tepat kerana keluarganya pernah ditipu ulat tiket dan dikehendaki membayar RM30 bagi tiket feri yang berharga RM18 pada musim cuti persekolahan Januari lalu.
“Waktu itu ayah saya meninggal dunia, jadi abang yang datang dari Kuala Perlis tiada pilihan lain dan terpaksa membayar harga tersebut untuk balik ke Langkawi,” ujarnya.
Penumpang dari Kangar, Perlis, Zalila Mohamad Saad, 44, berkata, tindakan itu dapat memastikan keselamatan penumpang sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
“Kalau ada kemalangan, pihak berkuasa dapat melakukan pengecaman penumpang dengan lebih baik dan pantas,” katanya.