fbpx

Kerja santai, hati jadi riang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja perlu mendapat rehat yang cukup untuk meningkatkan produktiviti. - Gambar hiasan
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Kerajaan Britain baru-baru ini memulakan program perintis bagi sistem bekerja empat hari seminggu untuk mengkaji manfaat pelaksanaannya kepada pekerja.

Program tersebut dilihat menjadi pemangkin kepada negara itu untuk melaksanakan polisi menyeluruh selepas mengkaji produktiviti dan kesejahteraan pekerja di samping tahap tekanan dan keletihan yang dialami.

Bukan hanya Britain, beberapa syarikat dan negara-negara seluruh dunia juga ada yang telah mula melaksanakan polisi tersebut secara berperingkat.

Kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik di Iceland mendapati bahawa produktiviti pekerja yang bekerja empat hari seminggu meningkat 40 peratus selain 78 peratus kakitangan berasa lebih gembira.

Ini pastinya sesuatu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja itu sendiri, bahkan majikan kerana mempunyai kakitangan yang efisyen dan bermotivasi, seterusnya menghasilkan output berkualiti untuk syarikat.

Namun, adakah Malaysia bersedia untuk polisi seperti ini? Baik dari pihak majikan, kakita­ngan atau kerajaan sendiri, adakah kita perlu mengikut jejak langkah negara-negara Barat dalam melaksanakan sistem tersebut?

Satu kajian lain yang dijalankan sebuah syarikat teknologi di Amerika Syarikat pada bulan lalu mendedahkan bahawa Kuala Lumpur berada di tempat ketiga sebagai bandar dengan penduduk paling teruk bekerja dan mempunyai tempoh bekerja yang sangat panjang.

Ditambah lagi dengan ke­sesakan lalu lintas yang semakin teruk kebelakangan ini, kos sara hidup yang melonjak, keperluan mendesak untuk meme­nuhi tuntutan daripada majikan dan ke­luarga, keadaan kesihatan mental seseorang pekerja adalah perkara serius.

Melihatkan trend ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan berbincang secara serius mengenai keperluan untuk be­kerja empat hari seminggu.

Menurut Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd. Effendy Abdul Ghani, kerajaan perlu mengadakan perbincangan tiga pihak bersama-sama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memperhalusi perkara itu.

Ujar beliau, bagi melaksanakan polisi tersebut, pelbagai perkara perlu dinilai termasuk garis panduan, peraturan dan jenis industri.

“Sistem bekerja empat hari seminggu sebenarnya bergantung kepada jenis industri. Ada sektor yang sesuai dan ada yang tidak,” katanya.

Tambah Mohd. Effendy, menerusi perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, garis panduan-garis panduan penting dapat dikeluarkan bagi memelihara hak pekerja.

“Kita tidak mahu ada majikan yang mungkin mengambil kesempatan seperti kurangkan elaun pekerja dan gaji. Jadi, kita perlukan perbincangan tiga pihak supaya sekiranya polisi ini mahu dilaksanakan, ia tidak akan menjejaskan pendapatan pekerja,” jelasnya.

Selain itu, Mohd. Effendy bersetuju bahawa produktiviti pekerja akan meningkat sekiranya mereka bekerja empat hari seminggu.

“Ini kerana, pekerja tersebut mungkin telah mendapat rehat yang cukup, seterusnya membuatkan dia bersedia untuk be­kerja serta mempunyai mood yang baik. Ini sudah pasti akan meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja,” katanya.

Justeru, sistem bekerja empat hari seminggu dilihat satu langkah yang bagus bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti bekerja, bahkan ia dapat membantu mengurangkan tekanan.

Kesihatan mental dan kua­liti hidup adalah penting untuk menjadi individu yang sihat.

Jika majikan terlalu ‘menekan’ pekerja untuk mengabdikan hidupnya kepada pekerjaaan, kita khuatir sekiranya ia membawa kepada masalah kesihatan mental yang akhirnya merugikan syarikat atau lebih teruk meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI