GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di kawasan Utara tanah air selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Kuala Kurau di Perak Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah heroin seberat 9.03 kilogram dengan nilai RM120,000 yang dijumpai di dalam kereta jenis Volkswagen Passat yang dipandu suspek berusia 36 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, polis mengekori kenderaan yang dipandu suspek di Jalan Besar Nibong Tebal dekat sini namun lelaki itu cuba meloloskan diri sebaik diminta berhenti.
“Polis mengejar kenderaan suspek sejauh 200 meter dan bertindak mengepung keretanya sebelum dia terbabas ke kiri jalan. Suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 3.50 petang.
“Hasil pemeriksaan di dalam kerete tersebut, polis menjumpai dadah jenis heroin 9.03 kilogram dipercayai untuk diedar kepada pembeli,” katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama yang bekerja sebagai nelayan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Kuala Kurau serta menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penternak ikan berusia 53 tahun kira-kira pukul 4.45 petang.
“Seorang lagi suspek yang merupakan nelayan berusia 34 tahun ditahan di tempat bebas di Nibong Tebal dekat sini pada pukul 10.45 malam,” katanya sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal Januari tahun ini dengan mensasarkan pelanggan di kawasan SPS dan Kuala Kurau.
“Saringan awal polis mendapati ketiga-tiganya suspek positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah,” katanya jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 45,000 penagih dadah.
Jelasnya lagi, selain rampasan dadah polis turut menyita wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun ini.
“Tindakan juga diambil terhadap dua lagi suspek di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” tambahnya. KOSMO! ONLINE