fbpx

Enam individu diberkas terlibat kes samun warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang rampasan dipercayai digunakan dalam kes samun berkumpulan.

KUALA LUMPUR – Dua wanita antara enam individu diberkas yang disyaki terlibat dalam kes samun terhadap dua lelaki warga asing menerusi serbuan berasingan di sekitar Sungai Besi, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, polis menahan suspek pertama yang merupakan lelaki warga tempatan pada pukul 10 pagi semalam.

“Susulan itu, soal siasat telah membawa penahanan tiga lelaki serta dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun bersama pelbagai alatan dan barang kes dipercayai hasil kegiatan samun.

“Antara barangan yang dirampas adalah lapan buah telefon bimbit, dua parang, lima komputer riba dan senjata menyerupai pistol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut menemui serta merampas ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 32.4 gram (g) serta pil Erimin 5 (0.7 g).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ l5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI