SHAH ALAM – Seorang eksekutif tuntutan sebuah bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan direman selepas disyaki berkomplot berhubung tuntutan palsu insurans kemalangan kereta, tahun lalu.
Suspek wanita berusia 39 tahun itu merupakan individu terbaharu direman selepas tiga lagi suspek termasuk pemandu kenderaan yang telah direman bermula kelmarin.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini terhadap wanita itu dikeluarkan Sabreena Bakar @ Bahari selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek terdahulu ditahan pukul 10.18 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Katanya, suspek dikatakan telah mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kenderaan jenis Perodua Alza.
“Tuntutan itu adalah atas kereta seorang penama dipercayai seorang wanita sedangkan tiada tuntutan dilakukan penama itu.
“Perbuatan itu dikatakan dilakukan pada Mac tahun lalu bersama tiga suspek lain yang telah direman sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Jelas sumber, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung dalang disebalik komplot tuntutan palsu tersebut.
“Seorang daripada tiga suspek yang sebelum ini direman telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat semalam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kosmo! kelmarin melaporkan tiga lelaki termasuk pemandu kenderaan sebuah jabatan kerajaan yang disyaki berkomplot membuat tuntutan palsu insurans kemalangan kereta pada tahun lalu direman antara dua hingga empat hari. – KOSMO! ONLINE