fbpx

SPM 2021: Pelajar program empowerNCER Akademik raih kecemerlangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pelajar yang mengikuti program empowerNCER Akademik di Perak bergambar selepas pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak, Sungkai Perak hari ini

PETALING JAYA – Program empowerNCER Akademik di Perak memberi kesan positif terhadap keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bagi pelajar dalam kalangan B40 dan Orang Asli mencapai kejayaan yang memberangsangkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI sentiasa komited dalam membantu pendidikan negara bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan daripada mendapat pendidikan.

“UPSI telah diberi mandat untuk mengelolakan program empowerNCER Akademik di Perak sejak tahun 2019 hingga kini dan turut berjaya memastikan pencapaian akademik pelajar mencapai tahap yang cemerlang.

“Hal itu disebabkan program tersebut bukan sahaja memberi penekanan terhadap komponen akademik malah kecekapan kemahiran dan pengembangan peribadi pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan menjelaskan impak program terbabit turut mencatatkan peningkatan kadar kelulusan SPM sekali gus meningkatkan bilangan pelajar dalam kalangan B40 ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah pendekatan sangat berkesan bagi menangani kemiskinan masa hadapan di kalangan komuniti Orang Asli,” ujarnya.

Katanya, beliau berharap program itu diteruskan demi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar B40 dan komuniti Orang Asli dalam menyokong seruan kerajaan untuk membasmi kemiskinan Keluarga Malaysia pada tahun 2025.

Program empowerNCER Akademik melibatkan tujuh daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak membabitkan seramai 1,400 pelajar terdiri daripada 182 pelajar Orang Asli yang menduduki SPM 2021 daripada 22 buah sekolah.

Dalam pada itu, seorang pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tapah, Daniel Hamdan membuktikan bahawa dia mampu menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat Keputusan 6A 3B.

“Tiada apa yang mustahil kerana usaha tidak mengkhianati. Saya juga mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan diperolehi daripada penglibatan semasa program empowerNCER Akademik .

“Menjadi pelajar orang Asli membuatkan semangat saya sentiasa tinggi demi mengubah persepsi masyarakat bahawa minoriti seperti kami juga mampu menjadi seseorang yang berjaya,” katanya.

Selain itu, Mohamad Nasral dan Mohd. Zulkernain dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdullah yang berjaya meraih 9A memberitahu program empowerNCER Akademik yang diikutinya memberi banyak motivasi dan keyakinan diri sebelum menghadapi SPM. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI