Duduk di penjara dua bulan menunggu dibicara
MOSCOW – Satu mahkamah di Rusia hari ini mengarahkan tahanan praperbicaraan selama dua bulan ke atas seorang ketua ajaran sesat di Siberia yang mendakwa dirinya jelmaan semula Jesus selain berdepan tuduhan mencederakan pengikutnya.
Sergei Torop, bekas anggota polis berambut panjang, mengetuai kultus dipanggil The Church of the Last Testament sejak 30 tahun lalu dan mendakwa dirinya ‘Anak Tuhan’.
Torop yang turut dipanggil Vissarion dan dua pengikutnya perlu tinggal di penjara sehingga 22 November ini untuk menunggu perbicaraan, menurut sebuah mahkamah di bandar Novosibirsk, Siberia.
BACA >> ‘Jesus’ Siberia kena tangkap
Jawatankuasa Siasatan menyatakan, pihaknya bercadang mendakwa pemimpin-pemimpin ajaran sesat dengan tuduhan mengendalikan satu pertubuhan agama haram dan menyebabkan ‘ancaman terhadap dua atau lebih orang’.
Pasukan penyiasat berkata, kumpulan pemimpin ajaran sesat memanipulasi pengikut untuk menyerahkan wang dan memberi ‘penderaan mental’ yang mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan mereka (pengikut).
Mahkamah Daerah Novosibirsk Tengah dalam satu kenyataan menyatakan Torop dan dua lagi sudah didakwa.
Peguam yang mewakili ketua ajaran sesat itu mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan tahanan sebelum dibicara. – AFP