Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Pas mengesahkan tiada seorang pun ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menbentuk kerajaan baharu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebentar tadi.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, PAS kekal mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul soal menyatakan sokongan kepada pihak lain.
“Saya nak mengesahkan bahawa tidak ada seorang pun dari ahli Parlimen PAS memberi sokongan kepada Anwar.
“Kami daripada Pas mendokong kerajaan PN dan tidak timbul soal menyeberangi atau menyatakan sokongan pada yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekiyar Negara 2020, di sini, hari ini.
Katanya, beliau juga mencabar Anwar supaya menyenaraikan nama-nama Ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepadanya.
Ditanya sama ada isu berkenaan ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi, Tuan Ibrahim berkata, isu itu hanya dibincangkan sepintas lalu sahaja.
“Ia (isu Anwar) kita bincang sepintas lalu sahaja tidak jadi satu isu besar. Bagi kita setakat ini, setiausaha-setiausaha parti sudah mengeluarkan kenyataan dan saya kira sudah cukup,” katanya.
Ditanya pula mengenai pendirian Presiden UMNO yang tidak menghalang Ahli Parlimennya menyokong Anwar, Tuan Ibrahim berkata, setiap parti harus bertanggungjawab supaya ahli Parlimen masing-masing menyokong kerajaan PN.
“Dalam sistem demokrasi, itu hak masing-masing tetapi parti perlu mengawal kita punya ahli Parlimen.
“Jadi, parti bertanggungjawab supaya memastikan ahli parlimen kita mendokong kerajaan PN. Saya fikir dalam konteks Pas, kita kekal dengan kerajaan PN,” katanya. – K! ONLINE