LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berjanji untuk membantu penyerang baharu, Darwin Nunez mencapai potensi sebenar selepas dia melengkapkan perpindahan ke Anfield.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu diumumkan sebagai pemain baharu Liverpool secara rasmi selepas memeterai perjanjian dengan kontrak selama enam tahun serta yuran perpindahan mencapai £85 juta (RM452 juta) kepada Benfica.
Justeru, Klopp gembira apabila berjaya mendapatkan khidmat Nunez selepas mengenepikan cabaran Manchester United dan Newcastle yang turut berminat merekrut pemain tersebut.
“Saya mahu semua orang tahu kami akan terus bekerja keras dengan Darwin (Nunez). Dia juga tahu bahawa ketibaannya di sini adalah untuk terus berkembang dan membantu pasukan.
“Dia datang ke sini untuk tempoh lama, jadi sudah tentu Liverpool bersedia untuk membantunya mencapai potensi sebenar yang ada dalam dirinya. Anda semua akan melihat apa yang dia mampu lakukan nanti,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga menyatakan rasa gembira memandangkan jentera serangan The Reds pastinya menggerunkan pada musim depan menerusi gandingan Nunez, Mohamed Salah dan Luis Diaz.
“Kami akan memiliki jentera serangan terbaik pada kempen 2022/23 nanti dan dia (Nunez) adalah sebahagian daripadanya. Oleh itu, saya tidak mahu dia rasa tertekan kerana semua pemain akan membantunya,” tambah Klopp. – AGENSI