COLOMBO – Kabinet Sri Lanka meluluskan polisi bekerja empat hari seminggu kepada kakitangan sektor awam bagi membantu mereka dalam menghadapi krisis bahan api serta menggalakkan penduduk untuk bercucuk tanam, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Negara itu menggaji kira-kira sejuta kakitangan sektor awam.
Krisis kewangan yang teruk telah menyebabkan kerajaan bergelut untuk membayar import bahan api, makanan dan ubat-ubatan kritikal.
Susulan itu, Kabinet pada Isnin lalu meluluskan cadangan memberikan cuti tambahan pada setiap hari Jumaat dalam masa tiga bulan akan datang untuk pekerja sektor awam.
Krisis kekurangan bahan api yang telah menyukarkan perjalanan orang ramai untuk pergi bekerja, selain langkah itu juga diharapkan dapat menggalakkan pekerja untuk terlibat dalam aktiviti pertanian.
“Kami berpendapat adalah wajar untuk memberi pegawai-pegawai kerajaan cuti sehari supaya mereka dapat terlibat dalam aktiviti pertanian di halaman rumah atau di tempat-tempat lain.
“Ia dilihat sebagai penyelesaian kepada krisis kekurangan makanan,” kata pejabat penerangan kerajaan dalam satu kenyataan.
Penduduk di negara dengan 22 juta populasi itu terpaksa beratur di stesen minyak selama berjam-jam selain menghadapi situasi bekalan elektrik terputus selama berbulan-bulan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu telah memberi amaran berkenaan krisis kemanusiaan yang berpotensi berlaku di negara itu dan merancang untuk menyediakan dana berjumlah AS$47 juta (RM207.7 juta) bagi membantu lebih sejuta orang yang terdedah. – Agensi