fbpx

Krisis ekonomi Lebanon burukkan keadaan pesakit kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk semasa perhimpunan pesakit kanser untuk membantah kekurangan ubat di Beirut, Lubnan pada 26 Ogos 2021. - AFP

BEIRUT, Lebanon – Krisis kewangan di Lebanon sejak tiga tahun lalu memberi kesan semakin buruk kepada pesakit kanser apabila bekalan perubatan dicatu, kos rawatan hospital melonjak dan kakitangan perubatan turut berkurangan, lapor agensi berita United Press International.

Kerajaan negara itu sudah tidak mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik untuk rakyat selepas ekonomi terus menjunam serta taraf hidup menuju ke paras kemiskinan dengan peningkatan pengangguran dan susut nilai mata wang yang mencecah 90 peratus.

Sebelum krisis ekonomi tercetus pada Oktober 2019, Lebanon dikenali sebagai hab perubatan di rantau Asia Barat kerana standard pendidikan perubatan yang tinggi, kualiti penjagaan kesihatan dan kemudahan hospital yang banyak.

“Kami tidak pernah menghadapi krisis yang berkaitan dengan ubat-ubatan dan hospital. Ia tidak pernah menjadi isu,” kata Presiden Persatuan Kanser Faire Face, Anne Franjieh.

Sejak tiga tahun lalu, kumpulan itu tidak dapat melakukan apa-apa selain membantu pesakit melunaskan bil hospital dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan yang kebiasaannya diperoleh daripada sukarelawan dari Iraq, Turki atau Mesir.

“Keadaan semakin teruk. Ramai daripada mereka mengharapkan bantuan kami termasuk bekas kelas pertengahan yang kini di bawah garis kemiskinan. Ia tidak hanya tertakluk kepada golongan miskin,” kata Anne.

Kehabisan sumber perubatan di Lebanon adalah disebabkan oleh rizab mata wang asing yang semakin berkurang dan kekurangan rizab mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Bermula November 2021, kerajaan negara itu mula menarik balik subsidi ubat-ubatan secara beransur-ansur termasuk untuk beberapa penyakit kronik.

Jumlah yang diperuntukkan setiap bulan berkurang daripada AS$115 juta (RM508 juta) kepada AS$35 juta (RM154 juta) untuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan.

Subsidi untuk ubat-ubatan kanser tertentu juga telah ditamatkan walaupun terdapat rayuan daripada pesakit yang terdesak dan ahli keluarga mereka yang telah melakukan protes di jalanan selama berbulan-bulan.

Dalam pada itu, doktor-doktor di negara tersebut bertungkus-lumus memberikan rawatan terbaik dengan kemudahan perubatan yang masih tersedia. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI